Akan ku balas segala pengorbanan ayah

Hari ini rutin seperti biasa apabila pulang ke kampung halamanku di Yan, Kedah..berkayuh ke Tanjung Dawai bersama-sama dengan rakan-rakan sekampung, Amir, Shukor, Anwar, Abang Fauzi, Shanot , Faris Batman dan Cikgu Hashimi. Jarak pergi dan balik lebih kurang 35km dengan pendakian di Tanjung Jaga yang agak mencabar bagi yang baru berjinak-jinak dengan sukan berbasikal. Awal-awal dahulu, rasa macam nak baling basikal ke dalam gaung di sebelah Tanjung Jaga. Tapi hari ini aku menggunakan basikal “Roadbike”, agak mudah untuk mendaki disebabkan ringan dan aku tiada pilihan lain selain dari terus berkayuh untuk sampai ke puncak disebabkan kasut mempunyai “clip” akan tetapi, Alhamdulillah, mendaki sambil memecut!! Ahah!!! Dulu masa kayuh MTB..teruk juga nak mendaki bukit tu. Kawan-kawan pun cakap “depa takpa la...naik roadbike” . Sekali sekala nak mudah sikit, apa salahnya..hehe..

Bersama cikgu Hashimi, Amir dan Abang Fauzi


Sampai di rumah tepat jam 7.45 malam. Mak dah mula bagi syarahan yang setimpal dah akibat sampai rumah lewat dari azan Maghrib, ya, mak memang macam tu, sangat ambil berat tentang waktu solat anak-anaknya. Kadang-kadang, saya yang terleka. Tapi tak apa lah..aku masih dapat solat dalam waktunya. =)

Usai solat Maghrib, terlihat cahaya lampu kereta dari tingkap bilik aku. Dalam hati aku berbisik “Ayah balik awal dari masjid, mesti ada yang tak kena ni”. Mulanya aku ingat ayah akan terus ‘on’ kan TV dan terus menonton berita. Aku bingkas keluar dari bilikku dan terus ke ruang menonton di tengah-tengah rumah, tak ada yang menonton berita pun. Sayup-sayup aku terdengar suara ayah memanggil namaku. Terus aku ke bilik ayah...

Sampai di bilik ayah, ayah sudah pun terbaring di atas katil dan meminta aku untuk memicit kedua-dua kakinya. Ayah mengadu yang tiba-tiba dia berasa lemah bila selesai solat maghrib di masjid. Ayah sendiri tak tahu macamana nak bagitahu aku apa yang dia rasa dan kat mana yang dia rasa lemah, apa yang diulang-ulang dari mulut ayah adalah “tak larat” dan “lemah”. Dalam hati aku ni dah mula rasa lain macam dah. Aku pun mula memicit-micit kaki ayah, ayah dah mula berbicara yang bukan-bukan. Apa yang aku rasa dalam hati aku ni, hanya Allah saja yang tahu. Aku dah mula terbayang hidup aku di hari mendatang tanpa ayah aku...aku memang amat memerlukan ayah aku, apa saja masalah yang aku hadapi, mesti ayah aku yang aku akan beritahu dulu, sejak kecil lagi memang aku macam tu. Tambah-tambah di waktu sekarang, tanpa ayah aku, aku pun tak tahu mana hala tuju aku, bagi yang tahu masalah yang aku hadapi sekarang, tahu lah.. Dah nak masuk umur 27 tapi aku tetap perlukan ayah dalam hidup aku. Peduli la orang nak cakap aku ni anak manja atau apa saja, bagi aku, ayah aku segala-galanya. Bukan bermaksud aku tak hargai jasa mak, tapi kali ni aku terpanggil untuk coretkan sedikit pasal ayah.

Sejak kecil, ayah tak pernah leka walaupun sekali dalam menyediakan yang terbaik untuk diri aku, dari bab makanan, pakaian dan banyak lagi. Perkara yang tak akan aku lupa, cara ayah menolak untuk beli barang-barang yang aku inginkan. Ayah seorang yang amat payah nak belikan mainan untuk anak-anak dia. Terus terang, mainan aku masa kecil, setengah bakul pun tak sampai, yang ada pun mak yang belikan dan hadiah dari kakak sulong aku ataupun dari saudara mara yang lain. Dulu masa kecil memang ‘hangen’ tak ingat la bila minta beli mainan terus kena ‘reject’. Bila dah bangka macam ni barulah aku mula sedar sebab apa ayah tak pernah memewahkan aku dengan alat-alat mainan. Masuk sekolah rendah, aku dah mula meminta-minta untuk dibelikan basikal dek kerana cemburu tengok kawan-kawan sekampung dah mula punyai basikal sendiri, boleh tukar gear pulak tu. Hehe..aku pun apa lagi, minta la basikal yang boleh tukar-tukar gear tu. Dari darjah satu aku minta..akhirnya darjah tiga baru lah ayah belikan..itu pun yang ‘single-speed’ ja..tak kisah lah, janji aku ada basikal untuk pergi ke sekolah dengan kawan-kawan dan mandi sungai. (Mandi sungai tu yang nak sangat sebenanrnya) tapi aku faham kenapa dia tak belikan basikal untuk aku sejak dari darjah satu lagi, atas sebab-sebab keselamatan yang paling utama. Itu yang aku nampak, pandangan orang lain atas tindakan ayah yang macam tu, apa ayah peduli. Dia mendidik dan menjaga anak-anak dia supaya dapat yang terbaik dah berada dalam tahap keselamatan yang maksimum.

Ayah aku seorang yang amat teliti dalam penampilan sehingga anak-anak dia pun terpaksa ikut cara dia. Ayah amat pentingkan kualiti pakaian yang keluarga dia pakai. Dia tak kisah pun keluarkan duit lebih sikit untuk beli pakaian, samada baju, seluar atau kasut yang kualiti tinggi untuk digunakan kerana dia nak barang-barang tu boleh dipakai dalam jangka masa yang panjang. Dulu rasa macam mengarut jugak, tapi bila dah bangka ni baru lah sedar apa yang ayah buat tu betul.  Buat apa kita nak beli barang yg murah tapi setahun nak kena ganti dua tiga kali. Kira-kira balik lebih kurang lah kalau kita beli yang mahal sedikit pun asalkan berkualiti. Takda lah kita buat kerja nak pergi ke kedai sebab nak beli barang tu dua tiga kali. Taukeh kedai mesti suka!! =) Banyak sangat-sangat perngorbanan yang ayah lakukan untuk aku, nak cerita, tujuh hari tujuh malam pun tak habis.

Macam tu lah ayah, nakkan yang terbaik buat anaknya, tapi aku ni selalu terleka, dan selalu kecilkan hati ayah, aku selalu buat ayah kecewa. Selalu menyusahkan ayah, tapi ayah tak pernah sedikitpun merungut yang aku banyak menyusahkan dia. Apabila aku aku ditendang dari UiTM dulu, aku tak pernah fikirpun malu yang ayah tanggung, dulu aku tak pernah kisah pun apa yang apa orang nak kata kat ayah disebabkan kegagalan yang aku cipta. Nasib baik la diterima masuk belajar di politeknik. Tahun 2005, aku terlibat dalam kemalangan pada satu malam kereta yang sebabkan kereta tu ‘total-lost’, dah tak boleh guna dah,  ayah datang untuk selesaikan segala urusan malam tu juga, walaupun dah pukul 2 pagi. Subuh tu ayah pun pergi berjemaah di masjid dengan motosikal, selesai ja solat subuh, motor ayah pula hilang di perkarangan masjid. Haish kutu-kutu ni..di masjid pun nak curi motor!! Dengan keadaan aku yang hanya terlantar di rumah akibat kemalangan tu, dari jauh aku tengok ayah termenung, dia hanya tengok saja nasi dan lauk yang mak masak, dia tak jamah pun. Tiga hari aku tengok ayah dengan keadaan macam tu. Tapi masa tu aku tak pernah fikir pun betapa serabutnya fikiran ayah waktu tu. Dengan ganti rugi yang perlu dia bayar akibat kemalangan yang aku terlibat dan kehilangan motor dia yang dia guna untuk ke masjid, pasar dan ke tempat-tempat yang berdekatan.  Tapi bila dah bangka ni, baru lah aku sedar betapa banyaknya masalah yang aku cipta..Sampai aku dah bekerja pun aku masih lagi bikin ayah pening. Aku banyak buat keputusan yang bukan-bukan, sering susahkan ayah. Sekarang pun aku masih susahkan ayah, aku tahu ayah masih risau dan kurang yakin dengan keputusan yang aku buat untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri dalam bidang takaful dan insurans, ya lah, dilatih dalam bidang teknikal tapi terjun ke dalam bidang insurans. Tapi aku buat semua tu untuk balas balik segala jasa ayah membesarkan aku dan mencipta kejayaan setelah rantaian kegagalan yang menghempas belakang aku.

Tapi sekarang, aku tak bersedia untuk kehilangan ayah aku, ayah akan berumur 74 tahun pada tahun ni, aku sendiri tak pasti samada sempat atau tidak untuk aku membalas segala jasa ayah. Dengan keadaan ayah sekarang, aku sedar yang ayah semakin dimamah usia. Dengan umur ayah dah menjangkau 74 tahun, aku tak boleh berasa selesa yang ayah akan sihat sepanjang masa walaupun ayah tak pernah diserang penyakit kronik atau kritikal. Aku risau sangat-sangat yang aku tak sempat nak balas jasa ayah. Aku risau ayah tak sempat lihat kejayaan aku setelah berbagai-bagai kegagalan yang aku sendiri cipta. Sedangkan sampai saat ni pun aku masih bergantung pada ayah aku dalam membina jalan yang lebih baik untuk masa depan aku. Kalau orang lain, mungkin dah meluat nak bantu, bagi semangat, berbincang dan macam-macam lagi untuk lihat anak dia berjaya dalam hidup. Dah nak masuk umur 27 tahun, sepatutnya pandai-pandailah nak terjun lubang mana pun. Tapi ayah tak pernah jemu nak ‘monitor’ apa yang aku usahakan, masih memberikan idea-idea yang mantap untuk aku laksanakan dan aku pun tak pernah jemu untuk kongsi dengan ayah apa yang aku cuba usahakan walaupun pernah menemui jalan kegagalan. Bab duit, tak payah cakap la, aku pun tak tahu banyak mana yang ayah dah habiskan untuk aku, dia tetap bantu walaupun waktu tu dia pun sesak macam kita juga. Tapi ayah tak pernah merungut. Kenapa dulu aku tak sedar semua ni?? Ada yang bercakap aku berkelebihan disebabkan aku anak yang bongsu, ayah tak pernah membezakan taraf anak-anak dalam membesarkan kami berlima. Aku saja yang banyak susahkan ayah.

Aku (tengah) bersama Ayah dan kakak di Zoo Negara  1989


Apa yang aku perlu lakukan sekarang adalah berusaha pada tahap maksimum untuk membalas jasa ayah. Tak kira apa saja rintangannya, itu keutamaan aku sekarang ni. Aku cuma punyai seorang ayah yang bernama Md. Hussain bin Saidi dan orang lain juga begitu, hanya ada seorang saja ayah dalam hidup mereka di dunia ni. Hargailah ayah kita, bercakap lah, berborak lah berkongsi lah dan mengadu lah apa saja dengan ayah sementara ayah masih bernyawa di dunia ni..apabila sampai ajal ayah kelak, kita dah tak mampu untuk untuk lakukan semua tu dan yang pasti kita akan berasa kesal kerana tak berbuat begitu semasa umurnya. Aku akan terus berdoa semoga ayah dikurniakan kesihatan yang berpanjangan dan dikurniakan ketaatan kepada Allah s.w.t. Aku berdoa semoga Allah memberikan aku waktu untuk buktikan kejayaan aku dalam hidup untuk ayah tatapi dan buatkan ayah tersenyum bangga bahawa aku adalah darah dagingnya.. sebelum aku post entri ni, ayah bangun keluar dari bilik dia untuk menjamah sedikit makanan yang mak sediakan. Alhamdulillah, ayah kelihatan sedikit bertenaga jika nak dibandingkan dengan keadaan dia 2 jam yang lepas.. Yang pasti, ayah perlukan rehat. Mungkin ayah terlalu sibuk sepanjang minggu ni. Basikal yang aku belikan untuk ayah pun tidak disentuh langsung minggu lepas. Selalunya ayah akan berkayuh dalam jarak yang dekat pada waktu pagi sebelum keluar untuk selesaikan urusan ayah. Semoga kesihatan ayah kembali pada tahap optimum Insyaallah...
Ayah


Your son is number  1!!


Comments

Popular Posts